Jurnal Bahasa (Dec 2019)
Penasalan Vokal dalam Dialek Melayu Hulu Pahang
Abstract
Makalah ini membincangkan gejala penasalan vokal dialek Melayu Hulu Pahang dengan tumpuan khusus kepada subdialek Budu. Penumpuan ini dilakukan disebabkan gejala penasalan vokal dalam subdialek tersebut sangat unik berbanding dengan subdialek lain yang terdapat di Hulu Pahang khususnya dan di Semenanjung Timur amnya. Sekurang-kurangnya terdapat dua sebab yang menjadikannya unik, iaitu (1) penyebarannya terhad di Budu (dan kampung yang berdekatan) dan (2) penasalan tersebut hanya melibatkan vokal /a/ yang mengikuti konsonan nasal velar asal akhir. Persoalannya, bagaimanakah subdialek Budu memperoleh ciri yang dikatakan unik ini? Disebabkan kemunculannya hanya terbatas di Budu, dan hanya melibatkan lingkungan yang sangat khusus, maka proses asimilasi, walaupun ada, tidak memainkan peranan yang besar dalam mewujudkan ciri vokal yang dinasalkan itu. Maka, dengan berpandukan tatakaedah dialektologi diakronik yang berasaskan penentuan inovasi bersama dan retensi (lihat Mahsun, 1995), yang juga merupakan tatakaedah sangat umum dalam linguistik sejarawi, selain pendekatan tipologi sosiolinguistik (Trudgill, 2011) bagi merungkai sejarah sosiolinguistik masyarakat Budu, makalah ini mempertimbangkan dua kemungkinan yang menjadi sebab kepada kewujudannya. Pertama pertembungan dialek dan inovasi berperingkat dalam sejarah subdialek Budu, dan kedua dialek Melayu Hulu Pahang. Kedua-dua kemungkinan ini sebenarnya saling berkait erat dan perlu ditangani secara bersama. Hasil analisis makalah ini menunjukkan bahawa fenomena dialek di Semenanjung Timur sangat rencam, dalam maksud, sebuah dialek menjadi sumber difusi, serentak dengan mempengaruhi jalur perubahan dan pengekalan dialek yang lain.
Keywords