Jurnal Bahasa (Jun 2022)

Persepsi Guru-guru Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan terhadap Penguasaan Kemahiran Lisan Bahasa Melayu Sepanjang Pandemik COVID-19

  • Nora’Azian Nahar,
  • Nurul Jamilah Rosly

DOI
https://doi.org/10.37052/jb22(1)no7
Journal volume & issue
Vol. 22, no. 1
pp. 149 – 172

Abstract

Read online

Penguasaan kemahiran mendengar dan bertutur (lisan) dalam bahasa Melayu merupakan masalah utama dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di sekolah. Lebih-lebih lagi guru yang mengajar bahasa Melayu kebanyakannya bukan opsyen dan ditambah dengan keadaan pandemik COVID-19 yang melanda dunia menyebabkan perkara ini bertambah serius. Persoalannya mampukah guru-guru mengajar kemahiran lisan secara maya? Kajian dijalankan untuk mengenal pasti persepsi guru-guru yang mengajar Bahasa Melayu terhadap penguasaan kemahiran lisan murid bukan penutur natif sepanjang Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diadakan. Seramai 101 orang guru peserta Program Perkongsian Ilmu bahasa Melayu secara maya telah dipilih sebagai responden. Mereka terdiri daripada guru-guru yang mengajar Bahasa Melayu dari 16 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 17 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan. Kajian dijalankan menggunakan reka bentuk kuantitatif. Instrumen kajian yang digunakan ialah soal selidik yang telah diadaptasi mengandungi 34 item menggunakan maklum balas skala Likert 5 mata dan soalan separa struktur. Data disokong dengan kaedah temu bual daripada 4 orang guru dan seorang pegawai SISC+ dari Daerah Port Dickson. Perbincangan bersandarkan Teori Behaviourisme. Data yang diperoleh dianalisis menggunakan perisian Statistical Package for the Social Sciences (SPSS) Version 25.0 menggunakan statistik deskriptif. Dapatan menunjukkan persepsi guru-guru yang melaksanakan PdPR dalam norma baharu ini adalah menggalakkan. Pelbagai inisiatif dan pengorbanan telah dilakukan oleh guru-guru di SJK bagi meneruskan PdP murid sepanjang wabak COVID-19 yang melanda dunia. Impak program diharapkan dapat meningkatkan prestasi bahasa Melayu di SJK setelah kelas secara bersemuka dijalankan semula.

Keywords