Al-Rāʾiq (Feb 2023)

PELAKSANAAN PENGAJIAN ILMU HADITH DALAM MATA PELAJARAN TURĀTH AL-SUNNAH KURIKULUM AL-SYAHADAH AL-ULYA ULUL ALBAB: SATU PENILAIAN AWAL

  • Mohd Ridwan Razali,
  • Mohd Muhiden Abd Rahman,
  • Mohamad Azrien Mohamed Adnan

Journal volume & issue
Vol. 4, no. 2
pp. 1 – 33

Abstract

Read online

Pelaksanaan pengajian hadith secara turāthī di Malaysia, pada dahulunya mendapat tempat dalam kalangan guru-guru pondok dan juga madrasah pengajian hadith. Dewasa kini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menunjukkan kesungguhan dalam memperkenalkan pengajian ilmu hadith secara turāthī dalam pelaksanaan mata pelajaran Turāth al-Sunnah kurikulum al-Syahadah al-Ulya Ulul Albab khususnya di SM Imtiaz Yayasan Terengganu Besut, Terengganu (SMIYTB). Justeru, kajian ini meneroka sejauh mana pelaksanaan ilmu hadith dalam mata pelajaran turāth al-Sunnah kurikulum al-Syahadah al-Ulya Ulul Albab SMIYTB. Data kajian dikumpulkan melalui proses analisis dokumen dan juga proses temu bual semi struktur bersama seorang Guru Pendidikan Islam Turāth al-Sunnah (GPITS) dan juga perbincangan kumpulan fokus bersama 18 orang murid tingkatan 4. Pekali cohen kappa terhadap data-data yang dianalisis menunjukkan data-data temu bual yang diperoleh adalah berada pada tahap tinggi bagi kedua-dua temu bual iaitu temu bual GPITS (72%) dan temu bual murid (79%). Dapatan kajian menunjukkan pelaksanaan pengajian ilmu hadith dalam mata pelajaran turāth al-Sunnah adalah berasaskan kitab-kitab turath dalam bidang al-Ḥadīth dan Muṣṭalāḥ al-Ḥadīth. Ia diperkenalkan kepada murid-murid sebagai pendedahan dan pengenalan secara asas kepada mereka bagi mendalami hadith-hadith Nabi SAW secara tekstual dan kontekstual dan untuk memahami ilmu-ilmu Muṣṭalāḥ al-Ḥadīth secara asas. Namun demikian, oleh sebab ia dilaksanakan dalam tempoh 60 minit seminggu serta dalam tempoh dua tahun sahaja, setiap kitab yang dipelajari dalam mata pelajaran tersebut disesuaikan dengan sistem pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu dengan diwujudkan sukatan pelajaran yang khusus bagi kedua-dua bidang pengajian tersebut. Justeru, kajian ini dilihat mampu memberikan maklumat penilaian awal yang mendalam tentang pelaksanaan pengajian ilmu hadith dalam mata pelajaran turāth al-Sunnah kurikulum al-Syahdah al-Ulya Ulul Albab di SMIYTB.

Keywords