International Journal of Management Studies (Dec 2011)

Jangka Masa Keluar Daripada Kepompong Kemiskinan dan Ketermiskinan: Kajian Kes di Kedah Darul Aman, Malaysia

  • Siti Hadijah Che Mat,
  • Roslan Abdul Hakim

Journal volume & issue
Vol. 18, no. 2

Abstract

Read online

Malaysia mencatatkan pengurangan kemiskinan yang memberangsangkan semenjak merdeka hingga kini. Kadar kemiskinan telah berkurangan daripada 52.4% pada tahun 1970 kepada 3.8% pada tahun 2009. Dalam Rancangan Malaysia ke Sepuluh (2010–2015), negara mensasarkan agar pada tahun 2015, purata pendapatan bagi 40% golongan isi rumah yang mempunyai pendapatan terendah meningkat daripada RM1440 pada tahun 2009 kepada RM2300 dan kadar kemiskinan dikurangkan kepada 2.0% pada tahun 2015. Persoalannya, berapa lamakah purata masa yang diperlukan untuk membebaskan mereka yang berada dalam kepompong kemiskinan untuk keluar daripada kepompongnya itu. Makalah ini cuba untuk menganggarkan tempoh masa yang diperlukan oleh isi rumah yang berada dalam kelompok kemiskinan dan ketermiskinan untuk keluar daripada kepompong kemiskinan dan ketermiskinannya dengan menggunakan beberapa anggaran pertumbuhan pendapatan. Kajian kes ini, ditumpukan kepada isi rumah petani di negeri Kedah Darul Aman. Satu kaji selidik secara bersemuka ke atas 384 responden dilakukan antara bulan April hingga Disember 2008. Analisis kajian menggunakan pendekatan seperti yang diperkenalkan oleh Morduch (1998). Dapatan menunjukkan pada kadar pertumbuhan pendapatan lima peratus, purata jangka masa yang diperlukan adalah lebih kurang 10 tahun untuk membebaskan mereka yang miskin (PGK: RM700.00) daripada kepompong kemiskinannya. Manakala isi rumah petani yang dalam keadaan ketermiskinan (PGK: RM430.00 pula mengambil masa selama lapan tahun untuk membebaskannya daripada kepompong ketermiskinannya. Kesimpulannya, sasaran untuk mencapai ketermiskinan sifar atau miskin tegar sifar adalah pada tahun 2021 dengan mengandaikan pertumbuhan pendapatan berlaku pada kadar tiga peratus setahun. Namun tempoh masa itu boleh dipendekkan apabila kadar pertumbuhan dicapai lebih tinggi. Sebagai contoh, miskin tegar sifar tercapai pada tahun 2016 apabila kadar pertumbuhan pendapatan berlaku pada kadar lima peratus setahun. Kata kunci: Kemiskinan, ketermiskinan, tempoh masa keluar kemiskinan, Malaysia.

Keywords