International Journal of Management Studies (Sep 2006)

Model Peramal Kepuasan Kerja Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Komuniti Pesisir Terengganu

  • Mohd Shaladdin Muda,
  • Nik Wan Omar

Journal volume & issue
Vol. 13

Abstract

Read online

Kajian ini menganalisis secara kritikal faktor penentu kepuasan kerja dan hubung kait dengan faktor gelagat organisasi bagi pegawai perkhidmatan pendidikan kerajaan di Malaysia. Ia bertujuan membina satu rumusan yang boleh dijadikan salah satu alternatif penyelesaian kepada pihak yang berkepentingan dalam menyediakan skim perkhidmatan pegawai pendidikan yang terbaik dan akhirnya, pelanggan akan dapat menikmati perkhidmatan pendidikan yang baik dan bermutu. Isu kepuasan kerja ini menjadi sangat penting kerana terdapat banyak rungutan daripada pegawai-pegawai perkhidmatan pendidikan berhubung dengan ganjaran, masa kerja yang panjang, beban kerja, tekanan kerja, persekitaran kerja, di samping hubungan dengan keluarga pelajar. Kajian menumpukan kepada tiga faktor utama berkaitan dengan kepuasan kerja iaitu faktor organisasi, demografi dan gelagat. Faktor organisasi merangkumi pemboleh ubah seperti pekerjaan itu sendiri, upah dan ganjaran, kenaikan pangkat, keadaan dan persekitaran kerja, rakan sejawat, komunikasi, penyeliaan dan prosedur kerja. Faktor demografi pula dijadikan pemboleh ubah moderator seperti umur, jantina, pengalaman kerja, kelayakan akademik dan tempat kerja. Manakala faktor gelagat terdiri daripada motivasi kerja, stress, komitmen, penglibatan, kecintaan kepada organisasi dan prestasi kerja. Kajian awal mendapati terdapat korelasi yang positif di antara pemboleh ubah-pemboleh ubah yang dinyatakan dengan kepuasan pekerja. Ujian hipotesis mendapati terdapatnya hubungan yang signifikan antara kepuasan kerja dengan faktor demografi, faktor organisasi, dan faktor gelagat. Responden kajian terdiri daripada pegawai perkhidmatan pendidikan di sekolah-sekolah kerajaan di kawasan pesisir Terengganu. Dapatan kajian ini diharap dapat mencadangkan alternatif penyelesaian dalam membentuk pasukan kerja pendidikan terbaik dapat memenuhi aspirasi kerajaan dan masyarakat, dan menjadi asas perbincangan di antara pegawai pendidikan dengan pihak yang berwajib mengenai terma-terma perkhidmatan dalam mencapai matlamat bersama, selain dapat memberi manfaat secara langsung kepada orang ramai yang menjadi pelanggan kepada perkhidmatan pendidikan kerajaan. Perlaksanaan kepada dapatan kajian ini diharapkan dapat mewujudkan situasi menang-menang antara kerajaan, warga pendidik, pelajar serta masyarakat yang menjadi pelanggan kepada perkhidmatan pendidikan. Seterusnya dapatan kajian ini akan menambah koleksi sorotan karya dalam bidang ini.

Keywords