Issues in Language Studies (Nov 2022)

Klasifikasi kata kerja tak ergatif dan kata kerja tak akusatif dalam Bahasa Melayu: Agentiviti dan penamat

  • Maslida Yusof,
  • Mughni Murni Bustaman,
  • Kartini Abd Wahab

DOI
https://doi.org/10.33736/ils.4095.2022
Journal volume & issue
Vol. 11, no. 2

Abstract

Read online

Makalah ini bertujuan membincangkan sifat semantik kata kerja tak ergatif dan kata kerja tak akusatif bahasa Melayu. Berdasarkan Hipotesis Tak Akusatif, kata kerja tak transitif dibahagikan kepada kata kerja tak akusatif dan kata kerja tak ergatif. Kedua-dua subkelas kata kerja tak transitif ini kelihatan sama pada tahap permukaan tetapi mempunyai representasi sintaksis yang berbeza. Dengan menggunakan analisis semantik yang berdasarkan klasifikasi kata kerja Aktionsart dalam teori Role and Reference Grammar (RRG), makalah ini akan memberi perhatian kepada konsep aspektual agentiviti dan penamat yang mewujudkan perbezaan antara kedua-dua kata kerja tersebut. Klasifikasi kata kerja Aktionsart yang membahagikan kata kerja kepada kata kerja keadaan, aktiviti, penyempurnaan dan pencapaian membuktikan bahawa ciri agentiviti hanya terdapat dalam kata kerja aktiviti dan ciri penamat terdapat pada kata kerja keadaan, penyempurnaan dan pencapaian. Dari perspektif Aktionsart, apabila kata kerja tak transitif ialah proses (atau aktiviti) maka kata kerja ini dipetakan sebagai tak ergatif manakala apabila kata kerja ini bertitik penamat, maka ia direalisasikan sebagai tak akusatif. Secara tidak langsung, makalah ini membuktikan penamat dan agentiviti mendasari perbezaan dalam subklasifikasi tak transitif secara merentas linguistik.

Keywords