Malaysian Journal of Learning and Instruction (Dec 2013)
Pengaruh Sikap Guru Terhadap Pembuatan Keputusan ke atas Komitmen Guru di Sekolah: Galakan Pengetua Sebagai Perantara
Abstract
Tujuan – Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti pengaruh sikapguru terhadap komitmen guru dalam membuat keputusan di sekolah menengah berpencapaian tinggi di negeri Kedah serta mengkaji peranan galakan pengetua sebagai perantara. Metodologi – Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan untuk memperoleh data. Sampel kajian ini adalah 399 orang guru yang dipilih secara rawak dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) berpencapaian tinggi di seluruh negeri Kedah. Soal selidik kajian ini mengandungi 40 item serta mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi dengan nilai Cronbach Alpha 0.94. Data kajian ini telah dianalisis dengan menggunakan statistik deskriptif dan Analisis Regresi Berganda. Dapatan – Dapatan kajian menunjukkan tahap galakan pengetua dalam membuat keputusan berada pada tahap tinggi manakala tahap komitmen guru dalam membuat keputusan adalah pada tahap sederhana. Analisis regresi menunjukkan faktor Sikap Guru mempunyai pengaruh yang signifikan terhadap Komitmen Guru iaitu Kesetiaan dan Kesediaan untuk Kekal di sekolah. Dapatan turut menunjukkan bahawa Galakan Pengetua menjadi perantara separa antara hubungan Sikap Guru dan Kesetiaan dan Kesediaan untuk Kekal dalam membuat keputusan. Signifikan – Hal ini dengan jelas menggambarkan bahawa guru-guru yang menunjukkan sikap yang positif semasa terlibat dalam proses membuat keputusan di sekolah berpencapaian tinggi akan terus kekal di sekolah tersebut. Dapatan juga menjelaskan bahawa Galakan daripada pengetua secara berterusan akan mempengaruhi sikap guru untuk turut terlibat dalam membuat keputusan dan seterusnya meningkatkan komitmen guru.