Jurnal Bahasa (Jun 2024)

Dialek Hulu Kedah: Satu Pengelompokan Baharu

  • Mohammad Khairulanwar Abdul Ghani,
  • Mohd Tarmizi Hasrah,
  • Khairul Faiz Alimi

DOI
https://doi.org/10.37052/jb24(1)no1
Journal volume & issue
Vol. 24, no. 1
pp. 1 – 44

Abstract

Read online

Makalah ini membincangkan dialek Melayu yang dituturkan di Baling, Kedah, Malaysia. Dialek di kawasan ini dipersepsikan oleh penutur lokal sebagai unik dan berbeza berbanding dengan dialek Melayu Kedah yang piawai. Oleh sebab wujud persepsi yang sedemikian, beberapa siri kunjungan lapangan dilakukan ke kawasan Baling bagi mengumpulkan data dialek. Tujuannya adalah untuk menjawab dua pertanyaan asas dalam dialektologi diakronik, iaitu: (i) apakah ciri fonologi dialek di Baling yang menjadikannya berbeza daripada dialek Melayu Kedah yang piawai dan dialek Melayu lain?, dan (ii) apakah hubungan dialek Melayu di Baling dengan dialek yang dibandingkan itu? Bagi menjawab pertanyaan ini, pengkaji menggunakan kaedah temu bual dengan memanfaatkan sebanyak 643 item leksikal dalam daftar kata, termasuklah rakaman perbualan. Data yang telah dipungut itu kemudiannya dianalisis menggunakan kerangka dialektologi diakronik yang memfokuskan pemerian inovasi bersama dan pengekalan, serta perbandingan antara dialek. Pemerian inovasi bersama dan pengekalan dalam aspek fonologi adalah bagi tujuan pengelompokan. Beberapa inovasi dan pengekalan fonologi membuktikan dua perkara. Pertama, dialek Melayu di Baling terpisah daripada cabang dialek Melayu Semenanjung Utara. Dengan erti kata lain, dialek tersebut bukan subdialek bagi dialek Kedah piawai. Kedua, oleh sebab dialek Melayu di Baling terpisah daripada induknya yang sering diuar-uarkan selama ini dan berkongsi persamaan dengan dialek Melayu lain yang terdapat di sekitarnya, dialek tersebutmembentuk cabangnya yang tersendiri. Cabang yang dimaksudkan ini dikenali sebagai cabang dialek Melayu Hulu Semenanjung Utara. Cabang ini terdiri daripada dialek yang dituturkan oleh masyarakat yang tinggal di kawasan Hulu Kedah yang merangkumi Baling, Sik, Kuala Nerang, Padang Terap dan Hulu Perak Utara. Selain linguistik, hubungan akrab dialek dalam cabang ini juga turut diperkukuh dengan bukti sejarah dan sosiologi. Implikasi penemuan makalah ini yang terpenting ialah kewujudan cabang baharu dalam dialek Melayu Semenanjung Utara yang perlu diangkat dalam pengelompokan dialek Melayu Semenanjung secara umum.

Keywords