Jurnal Bahasa (Jun 2024)
Sebutan Vokal Tinggi Suku Kata Akhir Tertutup Guru: Analisis Teori Fonologi Generatif dan Sosiofonologi serta Kesannya Terhadap Kesalahan Ejaan Murid
Abstract
Kajian ini dijalankan untuk menjelaskan sebutan vokal tinggi /i/ dan /u/ yang berada pada posisi suku kata akhir tertutup guru berdasarkan analisis teori fonologi generatif dan sosiofonologi, serta kesannya terhadap kesalahan ejaan murid. Tiga guru bahasa Melayu Tahun 1 dan 114 murid Tahun 1 di sebuah sekolah di daerah Hulu Langat, Selangor dipilih sebagai responden. Data dikumpulkan menggunakan borang soal selidik, borang maklum balas dan alat perakam dengan menggunakan kaedah kepustakaan dan pemerhatian. Kemudian, data dianalisis secara kualitatif dengan menggunakan (i) teori fonologi generatif dan (ii) faktor sosiofonologi. Hasil kajian menunjukkan bahawa terdapat murid yang menggantikan kata yang terdapat vokal tinggi /i/ dan /u/ pada suku kata akhir tertutup sebagai “e” dan “o” dalam penulisan mereka akibat ujaran guru yang membunyikan vokal /i/ dan /u/ pada posisi tersebut sebagai [e] dan [o], masing-masing. Misalnya, kata “arif” diujarkan sebagai [a.ref] dan “kamarul” diujarkan sebagai [ka.mã.rol]. Dengan berdasarkan teori fonologi generatif, perubahan ini berlaku disebabkan oleh proses perendahan vokal, iaitu perubahan fitur vokal [+tinggi] kepada fitur vokal [−tinggi] dan [+ATR]. Dari segi sosiofonologi, bahasa seharian yang sering digunakan, masalah gangguan bahasa, dan penggunaan dialek setempat telah mempengaruhi pelaksanaan proses perendahan vokal. Umumnya, kajian ini berusaha mengetengahkan perbezaan penggunaan vokal /i/ dan /u/ dan vokal [e] dan [o] kepada murid Tahun 1 untuk mengelakkan kekeliruan dan kesalahan ejaan kata bahasa Melayu secara berterusan.
Keywords