UUM Journal of Legal Studies (Jan 2021)

KESESUAIAN UNDANG-UNDANG UNTUK PERLINDUNGAN CORAK TRADISIONAL ORANG IBAN DI SARAWAK, MALAYSIA (THE SUITABILITY OF LAWS FOR THE PROTECTION OF TRADITIONAL DESIGN OF ORANG IBAN IN SARAWAK)

  • Shahrina Anis Samsudin,
  • Nazura Abdul Manap,
  • Safinaz Mohd. Hussein

DOI
https://doi.org/10.32890/uumjls2021.12.1.10
Journal volume & issue
Vol. 12, no. 1
pp. 219 – 245

Abstract

Read online

Corak tradisional Orang Iban yang semakin mendapat perhatian telah ditiru, dieksploitasi, digunakan tanpa kebenaran dan digunakan dalam keadaan yang menghina Orang Iban. Artikel ini bertujuan untuk memberikan gambaran tentang undang-undang yang sesuai bagi melindungi pengungkapan kebudayaan tradisional (PKT), terutamanya corak tradisional. Hal ini kerana terdapat pelbagai jenis undang-undang yang digunakan di seluruh dunia dalam melindungi PKT dan tiada instrumen undang-undang antarabangsa yang khusus diperuntukkan untuk melindungi PKT. Selain daripada itu, objektif artikel ini juga bertujuan untuk mencadangkan undang-undang yang sesuai digunakan di Malaysia untuk melindungi corak tradisional Orang Iban daripada perspektif PKT. Kajian perpustakaan dilakukan berdasarkan sumber primer dan sekunder seperti buku, kertas-kertas kajian dan dokumen perundangan melalui pangkalan data elektronik dan carian Internet menggunakan kata kunci seperti perlindungan warisan budaya, perlindungan pengungkapan kebudayaan tradisional, warisan Orang Asal dan perlindungan corak Orang Asal. Dapatan kajian diasingkan dan dibincangkan mengikut jenis undang-undang yang dicadangkan iaitu undang-undang warisan budaya, undang-undang harta intelek, gabungan undang-undang, undang-undang adat dan undang-undang sui generis. Hasil kajian menunjukkan tiada satu jenis undang-undang yang dipersetujui di peringkat antarabangsa untuk melindungi PKT. Kajian ini mencadangkan supaya undang-undang warisan budaya dan harta intelek sedia ada dipinda dan digunakan secara bersama-sama untuk memberikan perlindungan yang pantas untuk beberapa aspek keperluan Orang Iban terhadap corak tradisional mereka. Namun begitu, satu kerangka perundangan baru yang khusus (sui generis) harus digubal untuk memberikan perlindungan yang menyeluruh dan untuk jangka masa yang panjang bagi corak tradisional Orang Iban.

Keywords