Jurnal Bahasa (Dec 2022)

Penyukuan Vokal Tinggi dalam Bahasa Kerinci: Analisis Teori Fonologi Autosegmental

  • Nur Farahkhanna Mohd Rusli,
  • Adi Yasran Abdul Aziz

DOI
https://doi.org/10.37052/jb22(2)no3
Journal volume & issue
Vol. 22, no. 2
pp. 223 – 250

Abstract

Read online

Makalah ini bertujuan menjelaskan proses penyukuan vokal tinggi /i/ dan /u/ pada posisi nukleus suku kata dalam bahasa Kerinci. Dalam bahasa tersebut, vokal /i/ dan /u/ yang menduduki posisi nukleus akan mengalami perubahan bunyi contohnya bunyi /i/, /u/, /is/ dan /us/ akan direalisasikan sebagai [aj], [aw], [ajh] dan [awh]. Bagi menjelaskan perubahan yang berlaku, analisis tentangnya akan dijelaskan dengan menggunakan Teori Fonologi Autosegmental (Goldsmith, 1976/1990). Terdapat tiga gagasan utama dalam teori tersebut, iaitu proses penghubung, nyah hubung dan penyebaran fitur. Perubahan yang berlaku terhadap vokal tinggi dapat dijelaskan berdasarkan proses penyukuan semula menurut model skeletal KV oleh McCarthy (1981). Data kajian terdiri daripada sumber sekunder dan primer yang diperoleh melalui tiga kaedah, iaitu kaedah kepustakaan, pemerhatian dan temu bual. Instrumen yang digunakan dalam proses pengumpulan data terdiri daripada alat perakam, borang soal selidik dan buku catatan. Dalam kajian ini, informan terdiri daripada lima lelaki dan lima wanita berusia 50 tahun dan ke atas yang merupakan penutur Kerinci dialek Semerap yang lahir di Kabupaten Kerinci, Sumatera Barat, Indonesia. Namun begitu, informan telah lama menetap di Kampung Batu 21 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor lebih daripada 30 tahun. Hasil kajian menunjukkan vokal tinggi /i/ dan /u/ yang berada di nukleus suku kata akhir akan dihubungkan dengan nodus koda dan direalisasikan sebagai bunyi geluncuran [j] dan [w]. Malah, analisis penyukuan vokal tinggi di koda juga telah dapat menjelaskan penyisipan vokal [a] dalam output kata [mã.taj] “mati”, [sa.taw] “satu”, [tu.lajh] “tulis” dan [ku.rawh] “kurus” berdasarkan model skeletal KV model McCarthy (1981)

Keywords