Jurnal Bahasa (Jun 2025)
Analisis Metafora Konseptual dalam Sitkom Komedi Melayu
Abstract
Sitkom komedi mengandungi humor yang mampu membangkitkan rasa geli hati dalam kalangan individu yang mendengar dan melihatnya menerusi bahasa yang dituturkan dan gerak-geri yang dipersembahkan. Humor yang disampaikan dapat menyebabkan penyalahtafsiran makna sehingga menyukarkan pendengar untuk menyingkap makna sebenar sesebuah persembahan. Hal ini dikatakan demikian kerana humor mengandungi makna tersirat dan mengandungi metafora. Dari perspektif linguistik kognitif, metafora konseptual berfungsi untuk menyampaikan sesuatu yang bersifat abstrak atau menjelaskan sesuatu konsep yang kompleks. Namun begitu, unsur abstrak dan konsep yang kompleks ini mengandungi makna implisit yang menyebabkan berlakunya penyalahtafsiran makna. Kajian ini dilakukan untuk menganalisis unsur metafora konseptual yang digunakan dalam sitkom komedi Sepahtu Reunion Live 2022 dengan mengaplikasikan teori hibrid. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dan kaedah analisis kandungan. Data dicapai menerusi platform penstriman atas talian Sooka TV di https://www.sookatv.com/. Sembilan episod sitkom komedi Sepahtu Reunion Live 2022 bermula dari bulan Jun 2022 hingga Oktober 2022 telah dimanfaatkan. Dapatan menunjukkan bahawa penggunaan metafora konseptual yang disampaikan oleh penutur (pelawak) itu mengkonsepsikan entiti yang abstrak dan implisit untuk menjelaskan sesuatu konsep yang kompleks. Antaranya termasuklah konsep EMOSI, CINTA, KASIH SAYANG, KEHIDUPAN, KEMATIAN, SIKAP dan SIFAT MANUSIA, serta NILAI MURNI. Walaupun disampaikan dalam bentuk humor, konsep yang kompleks ini memperlihatkan kuasa humor yang bukan sahaja mampu berperanan sebagai unsur lawak semata-mata, namun mampu mengubah sikap, persepsi dan tanggapan manusia terhadap sesuatu, mewujudkan kesan yang lebih mendalam dan kreatif, dan yang paling utama, humor ini mampu memberikan kesan dan tindak balas yang baik dan positif terhadap psikologi manusia.
Keywords