Malaysian Journal of Syariah and Law (Nov 2019)
PENENTUAN AGAMA KANAK-KANAK APABILA SALAH SEORANG IBU BAPA MEMELUK ISLAM MENURUT PERSPEKTIF UNDANG-UNDANG DAN SYARIAH: KAJIAN KES INDIRA GANDHI A/P MUTHO
Abstract
Penentuan agama kanak-kanak apabila salah seorang ibu bapa memeluk islam telah menjadi satu polemik dalam institusi perundangan dan kekeluargaan di Malaysia. Kes-kes perebutan anak yang memberi implikasi kepada kanak-kanak terbabit, terutamanya dalam isu penentuan agama, telah menyebabkan pihak-pihak cuba mendapatkan hak jagaan yang sah melalui mahkamah. Namun begitu, sebagai negara yang mengamalkan dwi sistem perundangan yang memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menyelesaikan kes-kes berkaitan kekeluargaan Islam dan Mahkamah Sivil untuk kes-kes berkaitan kekeluargaan bukan Islam, isu pertindanan bidang kuasa apabila melibatkan salah satu pasangan menukar agamanya masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya. Justeru, artikel ini bertujuan membuat kajian kes Indira Ghandi A/P Mutho [2018] yang telah diputuskan di Mahkamah Persekutuan. Metodologi yang digunakan adalah melalui analisa dan kajian kes berdasarkan persoalan undang-undang dan pandangan hakim-hakim dalam kes ini, serta membuat perbandingan dengan hukum syarak dan pandangan mazhab fiqh dan fatwa kontemporari. Artikel ini akan dimulakan dengan penyataan latar belakang kes, disusuli isu penentuan agama anak mengikut perspektif undang-undang dengan beberapa isu seperti kuasa semakan kehakiman, pendaftaran penukaran agama kepada agama Islam dan eizinan memeluk agama Islam daripada ibu atau bapa. Kemudian kajian dibuat dari perspektif Syariah yang merangkumi pandangan mazhab fiqh, serta fatwa-fatwa kontemporari, keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan juga Fatwa Negeri Pahang. Akhir sekali artikel ini mengutarakan pandangan dan cadangan penyelesaian dari kedua-dua perspektif fiqh dan undang-undang
Keywords