Jurnal Bahasa (Jun 2023)
Metafora Akal, Kehidupan Dan Fikiran Dalam Buku Falsafah Hidup Karya Hamka
Abstract
Manusia cenderung untuk memanfaatkan metafora bagi menyampaikan makna implisit di sebalik penyampaian makna literal, terutamanya dalam penulisan. Pemanfaatan metafora bertujuan untuk menyampaikan sesuatu yang bersifat abstrak atau menjelaskan sesuatu konsep yang kompleks. Namun begitu, metafora yang mengandungi makna yang berlapis menyebabkan berlakunya penyalahtafsiran makna. Pengguna bahasa pula tidak dapat memahami makna di sebalik ungkapan tersebut. Hal ini menyebabkan mesej yang cuba disampaikan oleh penulis kepada pembaca gagal difahami, seterusnya terjadilah kekaburan makna dan kegagalan komunikasi. Sehubungan dengan itu, kajian ini membincangkan penginterpretasian makna metafora akal, kehidupan dan fikiran dalam buku Falsafah Hidup karya Hamka berdasarkan Teori Hibrid dan analisis kandungan teks. Data kajian ini diperoleh daripada empat bab pertama buku Falsafah Hidup. Analisis terhadap tiga metafora ini menghasilkan beberapa rantau konseptual yang memanifestasikan fikiran Hamka ketika menghuraikan dimensi asas kehidupan. Dua bentuk metafora, iaitu metafora konvensional dan metafora linguistik, telah dikenal pasti dalam kajian ini. Kedua-dua bentuk metafora ini juga berjaya menghasilkan tiga jenis metafora konseptual, iaitu metafora orientasi, metafora ontologi dan metafora struktural.
Keywords