Global Journal Al-Thaqafah (Jun 2012)
Pengguguran Bayi Menurut Perspektif Islam dan Perundangan di Malaysia
Abstract
Pengguguran bayi di kalangan wanita Islam adalah fenomena semasa yang menjadi permasalahan bersifat domestik dan antarabangsa. Artikel ini bertujuan memahami definisi dan konsep pengguguran secara teknikal dengan merujuk kepada pengertian menurut ilmu perubatan dan perspektif Islam. Artikel yang dibuat bukan sahaja melihat konsep pengguguran tetapi juga mengkaji dan melihat apakah kaedah yang biasa digunakan bagi menggugurkan kandungan. Di samping itu juga, perbincangan dibuat bagi menjelaskan secara terperinci akan sebab dan punca-punca yang menyebabkan pengguguran berlaku di kalangan masyarakat Malaysia khasnya dan dunia amnya. Artikel ini mendapati bahawa gejala perzinaan dan persetubuhan haram telah menjadi satu kesalahan jenayah syariah yang mencatatkan angka tertinggi berbanding kesalahan jenayah yang lain. Kajian ini turut melihat kesan atau akibat daripada amalan pengguguran janin sama ada dari sudut dan kesihatan si ibu, sosial dan juga bidang perubatan. Selain itu, kita akan turut melihat sejauh mana peruntukan dan hukuman berkaitan pengguguran di bawah Kanun Keseksaan Malaysia dan perspektif Islam. Akhirnya, artikel ini akan membuat analisa secara kritikal melalui metodologi perbandingan dengan sistem Islam untuk melahirkan beberapa saranan, cadangan serta mekanisme yang difikirkan paling tepat bagi memperbaiki sistem yang sedia ada agar masalah pengguguran bayi yang menjadi-jadi dewasa ini dapat dibendung dan diselesaikan.
Keywords