Malaysian Journal of Syariah and Law (Jun 2022)

ANALISIS FAKTOR-FAKTOR GEJALA RASUAH DAN CABARAN MENANGANINYA DI MALAYSIA

  • Azman Ab Rahman,
  • Nur Wahida Lokman,
  • Lutfi Mohamed Zain,
  • Syed Mohd Najib Syed Omar,
  • Setiyawan Gunardi

DOI
https://doi.org/10.33102/mjsl.vol10no1.387
Journal volume & issue
Vol. 10, no. 1

Abstract

Read online

Rasuah dalam kalangan penjawat awam mahupun swasta sering menjadi topik perdebatan di negara-negara luar begitu juga Malaysia. Menurut laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), statistik jumlah tangkapan dari tahun 2014 hingga 2021 telah berlaku kenaikan mendadak sehingga 205 peratus iaitu bersamaan dengan 552 kes kepada 1125 kes. Bahkan Malaysia telah mencatatkan kehilangan hampir RM 1.8 trilion disebabkan kegiatan ini. Pelbagai langkah dan inisiatif telah diambil oleh kerajaan dalam menangani kegiatan rasuah namun laporan terhadap aktiviti ini tetap meningkat tidak menunjukkan sebarang tanda penurunan. Perkara utama yang perlu dititikberatkan sebelum menghasilkan kaedah yang terbaik adalah dengan mengenal pasti punca sesuatu perbuatan itu berlaku. Justeru, artikel ini bertujuan untuk menganalisis faktor-faktor yang menyumbang kepada aktiviti rasuah dan cabaran yang dihadapi oleh Malaysia dalam menanganinya. Kajian kualitatif ini menggunakan kaedah dokumentasi dan pemerhatian dalam proses pengumpulan data. Hasil kajian mendapati bahawa faktor dalaman yang menyebabkan seseorang melakukan rasuah adalah kerana wujudnya peluang, kelemahan peribadi dan tidak berintegriti. Manakala faktor luaran adalah disebabkan oleh gaji yang rendah, tekanan kewangan dan tekanan kerja serta dasar negara yang kurang efektif. Penggunaan teknologi oleh pelaku bagi mengelakkan kegiatan rasuah dikesan, campur tangan dan kurang kerjasama daripada ahli politik serta kurang sokongan dan keyakinan orang awam pula merupakan cabaran yang dihadapi oleh kerajaan dan agensi pencegahan rasuah dalam menangani rasuah di Malaysia. Diharapkan kajian ini dapat dijadikan rujukan dan panduan kepada pihak yang berwajib bagi membendung jenayah rasuah untuk menjamin masyarakat dan individu berjawatan bebas daripada gejala rasuah. Kata Kunci: faktor, rasuah, cabaran, menangani