International Journal of 'Umrānic Studies (Dec 2022)
Penerapan Nilai-Nilai Islam dan Hubungannya dengan Perubahan Sosiobudaya Masyarakat Islam di Brunei Darussalam
Abstract
Borneo yang kaya dengan bahan mentah dan pelabuhan perdagangan yang strategik di Alam Melayu telah menarik minat orang-orang Eropah termasuk British dan Belanda untuk melebarkan kuasa jajahan mereka. British telah menakluki bahagian utara Borneo iaitu Brunei bermula pada awal tahun 1774, apabila wakil dari Engish East India Company (EEIC), John Jesse datang ke Brunei untuk membuka rundingan berkenaan dengan lada hitam. Bermula detik perkenalan itu, hubungan Brunei dengan British berterusan di abad 19 sehingga Brunei mencapai kemerdekaannya pada tahun 1984, iaitu 210 tahun kemudiannya. Walaupun, kedatangan British ke Borneo tujuan utamanya ialah politik dan perniagaan, tetapi secara langsung turut menyekat perkembangan Islam disana. Namun, bermula tarikh kemerdekaan Brunei pada 1 Januari 1984, masyarakat Brunei mula melakukan perubahan sosiobudayanya apabila Sultan Brunei mengisytiharkan Brunei sebagai Negara Melayu Islam Beraja yang Merdeka, Berdaulat dan Demokratik bersendikan Ajaran Agama Islam. Ini bermakna, Islam itu bukan hanya sebagai cara hidup yang lengkap tetapi menjadikannya sebagai kemudi, dasar dan falsafah Negara Brunei Darussalam. Penerapan nilai-nilai Islam mula dilaksanakan melalui Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei. Dengan penerapan nilai-nilai Islam tersebut berlaku beberapa perubahan sosiobudaya dalam masyarakat Islam di Brunei seperti dalam kepercayaan dan aqidah, adat, politik, ekonomi, sosial dan pendidikan. Secara keseluruhannya dapat disimpulkan bahawa dengan dasar penerapan nilai-nilai Islam, masyarakat Brunei mengalami perubahan sosiobudaya.